Madrasah Diniah Ahmadiah telah ditubuhkan dan diasaskan pada 13 Syaaban 1412H bersamaan 17hb Februari 1992 di Simpang Balak, Kajang Selangor oleh Fadhilatus Syeikh Ustaz Zakaria Awang Al-Ahmadi. Madrasah ini merupakan institusi pendidikan yang bermatlamatkan untuk membentuk generasi muslim yang bertaqwa melalui Ilmu, Iman, Amal dan Akhlak dengan menjalankan program dan aktiviti pengajian berorentasikan sistem pondok dan madrasah. Oleh itu para pelajar akan mengikuti dua aliran pendidikan iaitu berbentuk nizami dan umumi.

      Pada bulan Muharram 1420H bersamaan Mei tahun1999 madrasah ini telah berpindah ke tapak barunya iaitu dialamat : Lot 7819 Jalan Puyuh, Batu10 Jalan Cheras-Kajang, 43200 Kajang, Selangor. Tanah lot ini adalah seluas 1.5 ekar adalah milik Madrasah Diniah Ahmadiah hasil kutipan wang wakaf tanah dari orang ramai. Pada peringkat permulaan, 8 buah pondok kecil telah didirikan berdekatan dengan rumah Tuan Guru hasil daripada wakaf beberapa individu yang prihatin, sebuah madrasah/tempat pengajian juga telah dibina yang mana perletakan batu asasnya telah disempurnakan sebelumnya oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz B. Nik Mat, Menteri Besar Kelantan. 

     Madrasah ini telah melahirkan ramai pelajar sejak ia ditubuhkan dan sekarang ini mempunyai bilangan lebih kurang 30 orang pelajar yang sedang menekuni dan mendalami ilmu agama yang diajar sendiri oleh Fadhilatus Syeikh Ustaz Zakaria selaku Syeikul Madrasah disamping dibantu oleh beberapa orang tenaga pengajar lain. Madrasah ini merupakan institusi pendidikan yang didirikan atas kesedaran untuk melahirkan generasi muslim bertaqwa melalui Ilmu, Iman, Amal dan Akhlak. 

     Berkat daripada penubuhan dan bantuan daripada orang ramai, Madrasah ini berjalan dengan lancar walaupun dalam keadaan serba kekurangan. Memandangkan Madrasah ini tidak mempunyai dana khusus dan diurus secara persendirian, maka pihak Madrasah amat mengalu-alukan sumbangan daripada semua pihak bagi menampung aktiviti pengajian dan pengurusan Madrasah seterusnya akan melancarkan perjalanan Madrasah ini. Segala sumbangan samaada berbentuk wang tunai atau barangan boleh berhubung terus dengan pihak Madrasah. Keperihatinan dari semua penyumbang amat kami hargai dan kami dahului dengan ucapan terima kasih dan Jazakallahu Khairal Jaza..